Keseronokan mandi di jeram bertukar tragedi, dua pendaki lemas
HULU SELANGOR – Keseronokan sekumpulan enam pendaki bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika mandi di Air Terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, di sini, semalam.
Kedua-dua mangsa, Muhamad Aidil Aiman Muhammed Bajuri, 23, dan Muhammad Aidil Imran Mohd Nor Aziz, 21, ditemukan di dasar air terjun pada kedalaman kira-kira lima meter dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.13 tengah hari.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Katanya, sebaik tiba di Kem Pangkalan Kampung Hulu Rening pada pukul 12.45 tengah hari, anggota penyelamat terpaksa berjalan kaki sambil mendaki bukit sejauh empat hingga lima kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.
“Menurut pemanggil, enam individu sedang menjalankan aktiviti pendakian sebelum dua mangsa mandi di sungai berkenaan dan kemudian dilaporkan tenggelam.
“Pasukan PBS tiba di Lubuk Tupai pada pukul 1.05 tengah hari dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa pertama ditemukan di dasar air terjun pada pukul 2.15 petang, manakala mangsa kedua ditemui 10 minit kemudian.
Ashrul Riezal berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Empat lagi rakan mangsa, iaitu Mohamad Ridwan Syafie, 20; Ahmad Junaidi Rasul, 23; Norhatika Rosli, 20; dan Muhammad Naim Haziq Nasaruddin, 20, turut dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Operasi SAR ditamatkan pada pukul 5.20 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








