POLITIK

Kerjasama PRN Melaka dimuktamad: BN bertanding 21 kerusi, PAS 7

MELAKA – Barisan Nasional (BN) akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, manakala PAS bersama rakan gabungannya akan meletakkan calon di tujuh kerusi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PAS telah dimuktamadkan bagi menghadapi PRN yang dijadual berlangsung pada 14 November depan.

Beliau turut mengesahkan BN akan menggunakan logo sendiri pada pilihan raya itu, manakala keputusan berhubung penggunaan logo PAS diserahkan kepada kepimpinan parti berkenaan.

“Perundingan antara BN dan PAS khususnya telah dimuktamadkan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa BN akan bertanding di 21 kerusi dan PAS bersama rakan-rakan mereka akan bertanding di tujuh kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Melaka Bermunajat: Majlis Ratib Al-Attas dan Asmaulhusna di Masjid Salmah Khamis, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid berkata, senarai calon BN bagi PRN Melaka akan diumumkan pada 24 Oktober ini.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat selepas proses penilaian dan perbincangan di peringkat parti selesai dimuktamadkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button