AGAMA

JAIS jalankan siasatan hantaran tular individu Islam lakukan ritual agama lain

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan susulan hantaran tular berhubung tindakan individu yang dipercayai beragama Islam dan melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.

Dalam kenyataan, hari ini, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya telah memulakan siasatan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang melibatkan perbuatan menunjukkan pemujaan dengan cara menyalahi hukum syarak dan menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Setakat ini, JAIS belum dapat mengesahkan bahawa perbuatan itu dilakukan individu berkenaan ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor seperti yang ditularkan.

“Kami juga tidak menolak kebarangkalian hantaran itu melibatkan suntingan superimpose atau kecerdasan buatan (AI),” katanya sambil menambah beberapa fakta kes termasuk lokasi kejadian akan disiasat pihaknya secara lebih teliti dan kadar segera.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan menegaskan, perkara yang menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor dipandang serius dan setiap maklumat atau aduan akan disiasat dengan tindakan secara profesional, tegas, cepat, tepat serta adil.

Semalam, media melaporkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil tindakan bersama dengan pihak berkuasa berhubung penularan beberapa rakaman video yang didakwa memaparkan seorang individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum rakaman berkenaan yang turut dikaitkan dengan perlakuan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button