‘Diana’ lahirkan 10 anak selepas hampir tujuh bulan tidak makan
AYER KEROH – Seekor anakonda hijau sepanjang 2.74 meter di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, di sini melahirkan 10 anak pada 5 Oktober lalu, sekali gus mencatatkan kejayaan pembiakan generasi kedua spesies itu di pusat konservasi berkenaan.
Pengarah Urusan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, anakonda yang dinamakan Diana itu melalui tempoh bunting kira-kira 190 hari sebelum melahirkan kesemua anaknya selepas hampir tujuh bulan tidak menjamah makanan.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja menjadi pencapaian penting dalam usaha konservasi hidupan liar, malah mengukuhkan kedudukan taman berkenaan sebagai pemegang populasi anakonda hijau terbesar di Malaysia, dengan jumlah keseluruhan melebihi 40 ekor.
“Kejayaan ini cukup bermakna kerana Diana sendiri antara anak anakonda yang dilahirkan di taman ini pada Ogos 2020.
“Kelahiran generasi kedua ini membuktikan usaha konservasi dan pembiakan spesies eksotik dari Amerika Selatan dapat dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia,” katanya pada sidang media kelahiran 10 anak anakonda hijau di taman berkenaan, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Gerard berkata, kejayaan itu turut membuktikan keupayaan taman berkenaan menyediakan kemudahan dan penjagaan bersesuaian bagi pembiakan reptilia eksotik.
Menurutnya, pembiakan anakonda hijau yang juga antara spesies ular terbesar di dunia memerlukan penjagaan rapi, khususnya dari segi kawalan suhu, kebersihan air dan aliran arus yang menyerupai habitat semula jadinya di sekitar Sungai Amazon.
“Selain menjadi tarikan pendidikan, kejayaan pembiakan Diana turut memberi peluang kepada pasukan kami untuk mendokumentasikan dan memahami dengan lebih dekat proses reproduktif anakonda hijau,” katanya memetik laporan Metro Online.
Dalam perkembangan berkaitan, Gerard berkata, taman itu turut mencatatkan kejayaan apabila sebanyak 23 anak buaya kaiman berjaya ditetaskan daripada sekumpulan telur.
Menurutnya, reptilia yang berasal dari Amerika Selatan itu turut mendiami kawasan sekitar Lembangan Amazon.
Beliau berkata, pihak taman merancang menganjurkan karnival khas dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada orang ramai dan pencinta haiwan melihat dengan lebih dekat anak anakonda hijau serta anak buaya kaiman berkenaan.
Antara aktiviti yang dirancang ialah sesi menamakan anak haiwan, melukis muka dan pameran pendidikan bagi meraikan kejayaan pembiakan kedua-dua spesies reptilia itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

