BERITA SEMASA

Presiden Mesir tiba untuk lawatan dua hari ke Malaysia

SEPANG – Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi tiba di sini hari ini untuk lawatan negara dua hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ketibaan El-Sisi dan delegasi beliau dengan pesawat khas disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pukul 6.30 petang tadi.

El-Sisi kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Sambutan ketibaan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan seni Istana Budaya yang menampilkan keunikan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia menerusi tarian tradisional dan paluan alat muzik dalam suasana penuh warna-warni.

Ini lawatan negara pertama El-Sisi ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden pada Jun 2014.

Esok, beliau akan diberikan Majlis Sambutan Negara, disusuli Majlis Menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara.

El-Sisi dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama-sama Anwar bagi menilai kemajuan kerjasama serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Mesir, diikuti Majlis Minum Petang Rasmi anjuran Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.

Pada 2025, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika dengan jumlah dagangan kedua-dua negara bernilai RM3.08 bilion (USD0.72 bilion).

Nilai eksport Malaysia ke Mesir sebanyak RM2.55 bilion (USD0.60 bilion) manakala nilai import dari Mesir berjumlah RM530 juta (USD120 juta).

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (USD0.87 bilion). – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button