POLITIK

PRN Melaka: AMANAH berbeza pandangan dengan DAP berhubung kerjasama politik

MELAKA – Parti Amanah Negara (AMANAH) mempunyai pandangan berbeza dengan DAP berhubung kerjasama politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menyatakan bahawa gabungan itu sepatutnya mencari rakan bersekutu demi membentuk kerajaan negeri yang stabil.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, parti itu lebih cenderung untuk bekerjasama dengan rakan politik yang dianggap ikhlas berbanding bergerak secara solo.

“Pendirian AMANAH adalah mencari rakan yang ikhlas untuk mentadbir Melaka.

“Tanpa keikhlasan, kerajaan tidak akan stabil, seperti yang berlaku di Negeri Sembilan apabila ‘gelombang biru’ bertukar menjadi kucar-kacir,” katanya selepas hadir pada Jualan AgroMADANI dan sesi libat urus bersama nelayan di Kompleks Nelayan Tanjung Nibong, Telok Mas, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yuhaizad Abdullah, dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka, Darleena Baharuddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, bahawa Pakatan Harapan (PH) Melaka akan bertanding secara solo pada PRN dan tidak akan bekerjasama dengan BERSATU atau parti lain di luar gabungan.

Khoo, yang juga Timbalan Pengerusi PH Melaka, dipetik sebagai berkata gabungan itu akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari pada 1 Okt berkata, ruang rundingan bersama pelbagai pihak masih terbuka, termasuk kemungkinan membentuk kerjasama ‘PH Plus’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button