BERITA SEMASA

Kerajaan perhebat tatakelola, tutup ruang ketirisan wang awam

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkukuh tatakelola dan integriti dalam perkhidmatan awam bagi membanteras ketirisan wang awam serta salah guna kuasa, khususnya melibatkan badan berkanun persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikannya hari ini.

Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang perlu disertai usaha berterusan membudayakan integriti dan amalan tadbir urus yang baik dalam sektor awam, swasta serta masyarakat.

“Penguatkuasaan undang-undang mesti disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, mesyuarat itu turut bersetuju supaya kajian undang-undang dilaksanakan bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang (RUU) Khairat untuk mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam.

“Langkah berkenaan penting bagi memastikan dana yang diamanahkan kepada sesuatu entiti diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Selain itu, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam bagi memperkukuh etika dan integriti dalam kalangan penjawat awam.

Beliau berkata, dasar bagi RUU Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) juga akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.

Pada masa sama, JKKTN turut bersetuju menerima tujuh resolusi yang dibentangkan semasa Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI komited memperteguh integriti perkhidmatan awam dan menutup ruang yang boleh membawa kepada ketirisan serta salah guna kuasa.

“Setiap ringgit wang awam adalah amanah rakyat yang mesti dijaga dan setiap kuasa yang diberikan mesti digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button