Ubat dihantar ke rumah secara percuma mulai 1 Oktober
PUTRAJAYA – Seramai 87,000 pesakit berdaftar di bawah Program Ubat Melalui Pos (UMP) bakal menikmati penghantaran ubat secara percuma bermula 1 Oktober ini menerusi kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menyediakan peruntukan awal sebanyak RM5 juta bagi menampung kos penghantaran ubat kepada pesakit di seluruh negara.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua negeri menerima manfaat program berkenaan walaupun terdapat beberapa negeri yang sebelum ini memaklumkan tidak dapat terlibat.
“Bermula 1 Oktober, penghantaran ubat melalui pos akan diberikan secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti program tersebut.
“Atas faktor keprihatinan dan semangat Malaysia Madani, kita membuat keputusan menyediakan bajet tambahan supaya semua negeri mendapat manfaat daripada program ini,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut di sini hari ini.
Fahmi berkata, inisiatif itu merupakan tambahan kepada kerjasama sedia ada antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan KKM, termasuk Program Perkhidmatan Rangkaian Digital Sektor Awam (Persada).
Menurutnya, MCMC sebelum itu menyediakan peruntukan sehingga RM1 bilion bagi meningkatkan capaian internet dan kesalinghubungan di 150 hospital kerajaan serta lebih 2,500 klinik kesihatan dan klinik desa di seluruh negara.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bantuan yang diberikan akan memudahkan pesakit terutama di kawasan luar bandar mendapatkan bekalan ubat tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja menjimatkan masa dan kos perjalanan pesakit, malah membantu mengurangkan kesesakan di hospital serta klinik kerajaan.
“Manfaat paling besar adalah kepada rakyat di kawasan pedalaman yang sebelum ini perlu datang ke fasiliti kesihatan semata-mata untuk mengambil ubat.
“Ini akan meningkatkan pengalaman pesakit dan pada masa sama membantu mengurangkan beban serta kesesakan di hospital dan klinik,” katanya lagi.
Menurut Dzulkefly, sebelum ini pesakit perlu menanggung kos penghantaran sebanyak RM5.70 di Semenanjung dan RM12.50 di Sabah serta Sarawak.
“Bermula 1 Oktober, kos tersebut akan ditanggung kerajaan menerusi pembiayaan yang disalurkan oleh MCMC,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai perlu berwaspada terhadap sebarang cubaan penipuan berkaitan pendaftaran program berkenaan.
“Pendaftaran Program Ubat Melalui Pos hanya dilakukan melalui fasiliti KKM dan sistem MyUbat. Tiada pendaftaran dibuat menerusi akaun TikTok, Facebook atau mana-mana platform media sosial.
“Orang ramai juga tidak perlu membayar sebarang yuran untuk mendaftar program ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








