BERITA SEMASA

Malaysia digesa hentikan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar – MSF

KUALA LUMPUR – Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggesa kerajaan Malaysia menghentikan rancangan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar yang dijadualkan pada 29 September ini susulan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Dalam kenyataannya, MSF berkata penghantaran pulang itu perlu dihentikan kerana Myanmar masih berdepan konflik bersenjata, keganasan dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

MSF turut menggesa kerajaan mendedahkan maklumat berkaitan kewarganegaraan, umur serta risiko perlindungan yang dihadapi setiap individu yang dikenal pasti untuk dihantar pulang.

Menurut pertubuhan itu, pelarian dan pemohon suaka yang berdepan penganiayaan atau ancaman serius tidak seharusnya dihantar kembali ke negara yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

“Malaysia juga perlu memastikan keperluan perlindungan setiap individu yang tertakluk kepada proses penghantaran pulang dinilai secara menyeluruh berdasarkan piawaian antarabangsa,” katanya.

MSF berkata, berdasarkan data Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), Myanmar pada 2025 disenaraikan sebagai antara negara yang berdepan tahap konflik dan risiko terhadap orang awam yang tinggi.

Katanya, lebih separuh penduduk Myanmar terdedah kepada keganasan selain berdepan krisis kemanusiaan yang berpunca daripada konflik bersenjata, bencana alam dan ketidakstabilan ekonomi.

MSF yang beroperasi di Myanmar sejak 1992 kini masih menyediakan perkhidmatan kesihatan di Rakhine, Kachin, Shan Utara dan Yangon, selain melaksanakan program bekalan air, sanitasi serta kebersihan.

Mengulas perkembangan terbaharu itu, MSF berkata Malaysia sebelum ini pada 5 Ogos menyatakan proses penghantaran pulang tidak akan diteruskan sekiranya individu terbabit berisiko dianiaya atau nyawa mereka terancam.

“Namun, pengumuman terbaharu Kerajaan Malaysia memberikan gambaran bahawa jaminan itu mungkin tidak lagi terpakai.

“Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap perlindungan hak asasi manusia,” katanya.

MSF berkata pasukannya menyaksikan sendiri kesan konflik dan ketidakamanan terhadap akses kepada perkhidmatan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan serta sumber mata pencarian masyarakat di pelbagai wilayah Myanmar.

Menurutnya, pelarian termasuk etnik Rohingya dan kumpulan minoriti lain telah melalui penindasan serta keganasan selama berdekad-dekad.

“Justeru, MSF menggesa Malaysia menghentikan semua penghantaran pulang pelarian ke tempat yang masih dilanda keganasan dan bahaya yang memaksa mereka melarikan diri.

“Kerajaan juga perlu memastikan sebarang proses berkaitan dilaksanakan secara telus sepenuhnya serta mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button