BERITA SEMASA

Pemuda MIC sokong buka semula perbincangan pelaksanaan GST

KUALA LUMPUR – Pemuda MIC menegaskan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya ia dinilai sebagai sistem percukaian yang lebih telus, menyeluruh dan mampan untuk negara.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan berkata, pihaknya tidak seharusnya takut menyatakan pendirian mengenai GST meskipun parti itu pernah berdepan kekalahan politik kerana mempertahankan pelaksanaan cukai berkenaan.

“Biarpun kita pernah dikalahkan kerana GST, kita tidak harus takut untuk menyatakan apa yang kita percaya benar. Hakikatnya, GST adalah ‘the way forward’ dalam membina sistem percukaian negara yang lebih telus, menyeluruh dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Arvind turut menyambut baik ketegasan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh khususnya dalam mengetengahkan isu berkaitan kehidupan rakyat dan hala tuju ekonomi negara.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk cadangan jaminan pendapatan minimum kepada pekerja gig, pemulangan segera lebihan cukai perniagaan serta pembukaan semula perbincangan mengenai pelaksanaan GST.

Menurut Arvind, sebarang kelemahan dalam pelaksanaan GST sebelum ini perlu diperbaiki, termasuk dengan memperkukuh perlindungan kepada golongan berpendapatan rendah dan memastikan barangan keperluan asas terus dilindungi.

“Proses pemulangan cukai kepada perniagaan juga perlu dilaksanakan dengan cepat serta cekap,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menilai sesuatu dasar berdasarkan keberkesanan dan manfaatnya kepada negara, bukannya berdasarkan pihak yang memperkenalkannya.

“Dasar yang baik kita pertahankan. Yang kurang baik kita perbaiki. Yang tidak berkesan kita ubah,” katanya.

Dalam pada itu, Arvind berkata, realiti baharu pasaran pekerjaan turut perlu diberi perhatian, khususnya peningkatan kebergantungan anak muda terhadap ekonomi gig untuk menyara kehidupan.

Katanya, cadangan jaminan pendapatan minimum kepada pekerja gig wajar diberi perhatian serius bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terpelihara.

Beliau turut menggesa lebihan cukai perniagaan dipulangkan segera kepada peniaga kerana kelewatan boleh menjejaskan aliran tunai, operasi dan peluang pekerjaan.

“Inilah perbahasan yang perlu dibawa oleh generasi muda dalam politik. Bukan sekadar siapa menang, siapa kalah atau siapa memegang jawatan, tetapi apakah penyelesaian yang mampu kita tawarkan kepada rakyat,” katanya.

Arvind berkata, sebagai sayap pemuda dalam Barisan Nasional, Pemuda MIC perlu berani menyokong sesuatu yang benar, menegur apabila perlu dan mempertahankan dasar yang baik walaupun tidak sentiasa popular.

“Politik yang berani bukan sekadar mempertahankan apa yang popular. Politik yang berani adalah mempertahankan apa yang benar dan baik untuk masa depan negara. Berani kerana benar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button