Sarawak salur sumbangan RM100,000 kepada waris mangsa nahas helikopter FDS
KUCHING – Kerajaan Negeri Sarawak akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga petugas yang terlibat dalam kejadian helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, semalam.
Kerajaan Negeri Sarawak dalam satu kenyataan menerusi media sosial Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memaklumkan, kerajaan negeri juga akan menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.
“Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju supaya bantuan berkenaan disalurkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan Sarawak bagi membantu meringankan beban keluarga dan waris terlibat.
“Tanggungan penuh yuran pendidikan itu turut mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan para petugas berkenaan yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Menurut CAAM, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang dan helikopter tersebut sedang menjalankan operasi penerbangan FDS. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







