Pelajar Institut Kraf Negara ungguli Piala Tengku Puteri Jihan 2026
KUANTAN – Pelajar Institut Kraf Negara (IKN) menyapu bersih Piala Tengku Puteri Jihan sempena Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026 apabila kesemua pemenang pertandingan itu terdiri daripada penuntut institusi berkenaan.
Lebih membanggakan, kejayaan itu diraih menerusi bakat dan kreativiti pelajar Jurusan Seni Kraf Tenunan IKN yang bersaing dalam pertandingan sempena Temasya Warisan Pahang 2026.
Pasangan Nur Hanania Dayini Mohamad Fadhil dan Nurul Balqish Jaafar muncul juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Tempat kedua pula dimenangi pasangan Nurul Fazlyana Mohd Fairuz dan Eva Ernelly Petrus yang menerima RM7,500, manakala tempat ketiga disandang Nurul Huda Hamdan dan Aisyah Nur Wahida Ainal Razlin dengan hadiah RM5,000.
Dua lagi pasangan penuntut IKN turut menerima hadiah saguhati masing-masing sebanyak RM1,500.
Mereka ialah Jeni Elina Sarail dan Ivy Anak Badin serta Allyssa Amanda Anak Raymond dan Vivyene Voon Xien Sin.
“Kejayaan menyeluruh penuntut IKN itu memperlihatkan potensi generasi muda dalam menguasai kemahiran seni tenunan tradisional, selain memainkan peranan penting dalam memastikan warisan Tenun Pahang Diraja terus dipelihara dan diwarisi,” memetik laporan portal Istana Pahang.
Piala Tengku Puteri Jihan diperkenalkan khusus bagi memberi ruang kepada pelajar mengetengahkan bakat, kreativiti dan kemahiran mereka dalam seni tenun.
Pertandingan berkenaan juga menjadi antara usaha memperkasa generasi muda dalam bidang kraf tradisional, di samping memastikan seni Tenun Pahang Diraja terus dipertahankan, dikembangkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
