Minda merdeka perlu bebas daripada kejahilan, ketaksuban
KUALA LUMPUR – Selepas 69 tahun mengecapi kemerdekaan, persoalan yang perlu direnungkan rakyat Malaysia bukan lagi sekadar sama ada negara ini bebas daripada penjajahan, tetapi sejauh mana minda masyarakat turut benar-benar merdeka daripada kejahilan, ketaksuban, manipulasi dan pemikiran sempit.
Pensyarah Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor berkata, makna kemerdekaan perlu diperluaskan daripada sekadar pembebasan sebuah negara kepada pembebasan minda serta pembinaan masyarakat yang matang, berilmu, berintegriti dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, dari perspektif Islam, kebebasan juga merupakan satu amanah yang perlu dipelihara, bukan sekadar hak yang dinikmati.

Katanya, Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 supaya amanah disampaikan kepada yang berhak dan setiap keputusan dibuat dengan adil.
“Dalam realiti Malaysia hari ini, kemerdekaan juga berkait rapat dengan kemerdekaan ekonomi.
“Rakyat yang sentiasa terhimpit dengan kos sara hidup, pendapatan yang tidak sepadan dengan peningkatan kos kehidupan, beban perumahan dan ketidaktentuan pekerjaan mungkin secara politiknya hidup dalam sebuah negara merdeka, tetapi masih belum menikmati sepenuhnya makna kebebasan dalam kehidupan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau berkata, kemajuan ekonomi tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan angka pertumbuhan, pelaburan atau pembangunan fizikal, sebaliknya perlu dilihat melalui kemampuan rakyat membina kehidupan yang stabil, selamat dan bermaruah.
Jelasnya, prinsip keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang ditekankan Islam perlu diterjemahkan supaya manfaat pembangunan negara dapat dirasai secara lebih adil dan inklusif.

Dalam pada itu, Dr Khairunneezam berkata, kemajuan teknologi turut mewujudkan bentuk penjajahan baharu yang lebih halus apabila pemikiran manusia boleh dipengaruhi melalui algoritma, maklumat palsu, propaganda, manipulasi emosi dan ketagihan media sosial.
Katanya, perkembangan kecerdasan buatan (AI) pula menjadikan sempadan antara fakta dan manipulasi semakin sukar dibezakan.
“Dalam hal ini, Islam memberikan prinsip yang sangat jelas melalui Surah al-Hujurat ayat 6, iaitu apabila menerima sesuatu berita daripada seseorang yang tidak dapat dipercayai, kita hendaklah menyelidiki dan memastikan kebenarannya terlebih dahulu.
“Prinsip tabayyun ini amat relevan dalam era media sosial dan AI. Rakyat yang merdeka pada zaman digital bukanlah rakyat yang bebas berkongsi apa sahaja, tetapi rakyat yang mempunyai kebebasan berfikir serta disiplin untuk menyemak sebelum mempercayai dan menyebarkan sesuatu,” katanya.
Menyentuh aspek politik pula, beliau berkata, kemerdekaan tidak bermaksud semua rakyat perlu mempunyai pandangan yang sama.
Sebaliknya, katanya, demokrasi yang matang memerlukan masyarakat berbeza pendapat tanpa kehilangan rasa hormat dan kasih terhadap negara.
“Kita boleh berbeza parti, ideologi dan pandangan terhadap kerajaan, tetapi jangan sampai perbezaan itu menjadikan kita saling membenci sebagai rakyat Malaysia.
“Islam sendiri mengiktiraf kepelbagaian manusia dan mengingatkan bahawa perbezaan seharusnya menjadi ruang untuk kita saling mengenali, bukannya alasan untuk bermusuhan,” katanya merujuk Surah al-Hujurat ayat 13.
Beliau berkata, prinsip berkenaan amat penting dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang supaya kepelbagaian menjadi kekuatan, bukannya punca perpecahan.
Dr Khairunneezam berkata, bentuk perjuangan kemerdekaan generasi terdahulu dan generasi hari ini mungkin berbeza, namun tanggungjawab untuk mempertahankan kemerdekaan tetap menjadi amanah bersama.
“Generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan; generasi hari ini pula perlu berjuang untuk memastikan kemerdekaan itu tidak hilang melalui kejahilan, perpecahan, rasuah, ketaksuban dan ketidakbertanggungjawaban,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha membangunkan negara tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam memperbaiki diri, keluarga, komuniti dan akhirnya negara.
Katanya, prinsip itu selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d ayat 11 bahawa Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.
Sehubungan itu, beliau berpandangan sambutan Hari Kebangsaan tidak seharusnya sekadar menjadi ritual tahunan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik dan mengulangi kisah perjuangan sejarah.
“Semua itu penting, tetapi patriotisme yang sebenar ialah apa yang kita lakukan selepas lagu berhenti dimainkan dan bendera diturunkan.
“Ia terlihat pada cara kita bekerja, menjaga integriti, menghormati perbezaan, menggunakan media sosial, membantu mereka yang memerlukan dan melayan sesama manusia,” katanya.
Beliau berkata, kemerdekaan akhirnya perlu dilihat sebagai amanah bersama untuk memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah Malaysia yang lebih bersatu, adil, berilmu, berintegriti, sejahtera dan bermaruah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




