Pelakon Ropie pengsan ketika penggambaran, disyaki strok haba
SHAH ALAM – Pelakon dan pelawak, Ropie dilaporkan pengsan secara tiba-tiba ketika menjalani penggambaran luar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, semalam.
Perkara itu dikongsikan pelakon, Zalif Sidek menerusi hantaran di Facebook yang memaklumkan kejadian berkenaan mencetuskan suasana cemas dalam kalangan kru dan rakan artis yang berada di lokasi.
“Sesuatu yang tak pernah kita sangka. Semalam ketika menjalani penggambaran outdoor di Bangunan SUK Selangor, tiba-tiba sahabat kita, Abang kita PAKODI & S’RYN, jatuh dan pengsan secara tiba-tiba,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian, seorang lagi rakan mereka, Jasper Supayah berada berhampiran dan segera membantu.
Zalif turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Hospital Shah Alam dan ambulans yang bertindak pantas ke lokasi penggambaran bagi memberikan rawatan awal kepada Ropie atau nama sebenarnya, Zahid Tajuddin.
“Terima kasih @hospitalshahalam & ambulans sepantas yang mungkin terus ke set untuk check dapat rawatan segera abang PAKODI & S’RYN,” katanya.
Tambah Zalif, keadaan Ropie kemudian dimaklumkan isterinya sudah okey dan boleh makan sebelum dibawa pulang.
Menurutnya, kejadian itu juga menjadi peringatan kepada semua supaya tidak mengabaikan keadaan kesihatan ketika bekerja, terutama dalam keadaan cuaca panas.
“Kadang-kadang bila terlalu fokus pada kerja sehingga terlupa keadaan tubuh sendiri.
“Cuaca panas bukan perkara kecil. Jaga diri, cukupkan air dan jangan paksa badan bila sudah mula rasa tidak sihat,” katanya.
Zalif turut mendoakan agar Ropie diberikan kesembuhan segera dan kembali sihat seperti biasa.
“Semoga Ropie segera diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti biasa. Allah jaga dan lindungi sahabat kita Abang PAKODI & S’RYN,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






