DAP gesa peruntukan kawasan saksama untuk semua Ahli Parlimen
KUALA LUMPUR – DAP menggesa kerajaan segera menyediakan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) secara saksama kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau pendirian politik.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan peruntukan pembangunan diberikan secara menyeluruh kepada semua kawasan Parlimen.
Menurutnya, DAP sudah beberapa kali menyampaikan perkara berkenaan kepada Perdana Menteri dan berharap langkah sewajarnya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kami kekal komited terhadap janji pilihan raya PH untuk memastikan peruntukan pembangunan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen.
“Kami telah menyampaikan perkara ini kepada Perdana Menteri berulang kali dan berharap beliau mengambil langkah yang diperlukan untuk melaksanakannya secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, pemberian peruntukan secara saksama penting bagi memastikan mandat demokratik wakil rakyat yang dipilih tidak terjejas.
“Pengundi di setiap kawasan Parlimen tidak sepatutnya didiskriminasi hanya disebabkan pilihan atau pegangan politik mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memuji Perdana Menteri berhubung pengumuman peruntukan tambahan secara terus kepada setiap kawasan Parlimen pada minggu lalu.
“Walaupun langkah ini sememangnya amat membantu, ia masih belum menyelesaikan isu teras, iaitu komitmen untuk menyediakan peruntukan yang saksama dan bebas daripada diskriminasi kepada setiap Ahli Parlimen,” katanya lagi.
Gobind turut menggesa kerajaan menggubal undang-undang bagi menjamin pemberian peruntukan yang adil kepada semua Ahli Parlimen.
Menurutnya, undang-undang berkenaan penting bagi menghapuskan budi bicara politik dalam proses pemberian peruntukan, selain menjamin ketelusan serta melindungi hak semua pengundi di seluruh negara.
“Oleh yang demikian, saya menggesa Perdana Menteri untuk mengatasi kelewatan ini dan mengambil langkah ke hadapan dengan menyediakan peruntukan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen terlebih dahulu.
“Seterusnya, menggubal undang-undang yang menjamin peruntukan kawasan yang saksama secara kekal bagi setiap Ahli Parlimen di Malaysia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








