Senam Sihat MADANI Merdeka digerakkan serentak di 1,098 NADI seluruh negara
JOHOR BAHRU – Program Senam Sihat MADANI Merdeka 2026 digerakkan secara serentak di 1,098 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) seluruh negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan dengan penyertaan melebihi 50,000 peserta.
Inisiatif berkenaan dilancarkan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Komunikasi, Datuk Aminurrahim Mohamed bersempena Program MADANI Kita (PMK) Larkin, di sini.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pelaksanaan serentak itu turut menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan melalui rangkaian NADI di seluruh negara.
“Selain menggalakkan aktiviti kecergasan, program berkenaan bertujuan menghimpunkan komuniti menerusi pendekatan gaya hidup sihat, kebersamaan serta semangat perpaduan sempena Bulan Kebangsaan.
“Karnival itu merupakan antara inisiatif di bawah teras Kesejahteraan Kendiri dalam Perkhidmatan Pintar NADI yang menggalakkan masyarakat membudayakan gaya hidup aktif selain menitikberatkan kesihatan diri dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, pelaksanaan menerusi 1,098 NADI di seluruh negara turut membolehkan mesej serta aktiviti berkaitan kesejahteraan komuniti diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat turut diketengahkan menerusi PMK Larkin yang menyediakan pelbagai perkhidmatan percuma kepada penduduk setempat.
“Antara perkhidmatan disediakan ialah saringan kesihatan asas, pemeriksaan pergigian serta saringan risiko kesihatan jantung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kemudahan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan selain menggalakkan pengesanan awal risiko kesihatan supaya tindakan susulan dapat diambil sekiranya diperlukan,” katanya.
Sementara itu katanya, sehingga kini, seramai 137,254 peserta di seluruh negara telah menyertai program di bawah teras Kesejahteraan Kendiri.
Di Johor Bahru pula katanya, seramai 245 peserta telah menerima manfaat menerusi program dan aktiviti saringan kesihatan yang dilaksanakan melalui NADI setakat ini.
“PMK Larkin merupakan lokasi ketiga dalam siri penganjuran Program MADANI Kita yang diselaraskan oleh MCMC menerusi NADI, selepas Permatang Pauh dan Nibong Tebal.
“Penganjuran itu mencerminkan usaha berterusan untuk mendekatkan pelbagai perkhidmatan serta inisiatif Kerajaan MADANI kepada masyarakat di seluruh negara,” katanya.
Program Senam Sihat MADANI Merdeka turut memperlihatkan peranan NADI yang semakin berkembang sebagai platform komuniti yang bukan sahaja menyediakan akses digital, malah menyokong pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek kesihatan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








