JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu lori tangki direman susulan kemalangan maut korbankan ibu, anak

TEMERLOH – Pemandu lori tangki yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang ibu dan anak lelakinya di Kilometer 9 Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, lelaki berusia 37 tahun itu direman mulai hari ini hingga Selasa.

Beliau berkata, pemandu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu berkenaan mendapati keputusan negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, seorang wanita dan anak lelakinya rentung selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki yang membawa 32,000 liter diesel dan petrol.

Kemalangan itu menyebabkan lori tangki dan kereta berkenaan terbakar, mengakibatkan kedua-dua mangsa terperangkap di dalam kenderaan.

Pemandu lori tangki itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku selepas lori tangki yang dalam perjalanan dari Seremban ke Temerloh hilang kawalan sebelum terbalik dan menghempap kereta mangsa yang dalam perjalanan dari Jerantut menuju Seremban, Negeri Sembilan.

Mohd Nasyim berkata, bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa dijalankan di Hospital Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau berkata, urusan pengebumian mungkin ditangguhkan sehingga keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, waris telah tampil untuk mengenal pasti mangsa sebagai Nur Fatima Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, dari Jerantut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button