BERITA SEMASA

Fadillah semakin pulih selepas jalani pembedahan pintasan jantung, berjaya lakukan senaman berbasikal sejauh 2.8 kilometer

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof, menunjukkan perkembangan positif selepas berjaya menjalani prosedur pembedahan pintasan arteri koronari atau Coronary Artery Bypass Grafting (CABG) di Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 Ogos lalu.

Menurut IJN dalam satu kenyataan, beliau dimasukkan ke pusat rawatan itu pada 28 Julai lalu dan menerima rawatan di bawah kendalian Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya dan Datuk Seri Dr Azmee Mohd Ghazi,m dengan sokongan Felo Klinikal Kardiologi, Dr Ow Jie Ken dan Dr Fa’iz Mashood.

“Fadillah menjalani angiogram koronari pada 29 Julai sebelum pasukan perubatan pelbagai disiplin memutuskan bahawa pembedahan pintasan arteri koronari merupakan kaedah rawatan paling sesuai berdasarkan keadaan beliau.

“Pembedahan pintasan berganda itu dilakukan pada 12 Ogos oleh Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiotorasik IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Prof Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, bersama Felo Klinikal Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular, Dr Ahmad Mahir Shamsuddin.

“Pasukan anestesia pula diketuai Pakar Perunding Kanan Anestesiologi, Datuk Dr Suneta Sulaiman, bersama Pakar Perunding Anestesiologi, Dr Norhayati Anuar dan Felo Klinikal Anestesiologi, Dr Wazir Ahmad Haja Sahabudeen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pembedahan berkenaan dilaksanakan mengikut protokol Enhanced Recovery After Surgery (ERAS) IJN, iaitu pendekatan pelbagai disiplin yang bertujuan menggalakkan pergerakan awal pesakit, mengurangkan komplikasi serta menyokong proses pemulihan yang lebih selamat dan pantas.

Dalam pada itu Dr Mohamed Ezani yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN berkata, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Timbalan Perdana Menteri itu.

“Rawatan dan proses pemulihan beliau berjalan mengikut perancangan, manakala keadaan kesihatan beliau terus menunjukkan peningkatan seperti yang dijangkakan oleh pasukan perubatan,” katanya.

Katanya, sebagai sebahagian daripada program mobilisasi awal pada 13 Ogos, Fadillah turut berjaya melakukan senaman berbasikal sejauh 2.8 kilometer di bawah pengawasan pasukan klinikal IJN.

Beliau kemudian dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa pada petang hari yang sama dan kini meneruskan proses pemulihan serta rehabilitasi jantung selepas menjalani pembedahan CABG.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button