Polis buru dua wanita berjubah, berpurdah disyaki ‘kebas’ gelang emas RM16,000
KUALA TERENGGANU – Polis memburu dua wanita termasuk seorang berpurdah bagi membantu siasatan kes kecurian seutas gelang emas bernilai kira-kira RM16,000 di sebuah kedai emas di Batu 8, Kampung Batu Enam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 10.59 pagi sebelum kehilangan gelang emas seberat 28.01 gram itu disedari jurujual pada pukul 10.25 malam.
Menurutnya, jurujual terbabit kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua wanita berkenaan masuk ke premis itu dengan berpura-pura sebagai pelanggan.
“Salah seorang suspek meminta beberapa gelang emas untuk dicuba sebelum tidak menanggalkan seutas barangan kemas yang dipakai di tangannya.
“Suspek kemudian cuba menyembunyikan gelang berkenaan menggunakan lengan jubahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, suspek kemudian dilihat sengaja menjatuhkan gelang terbabit ke lantai sebelum memijaknya dan memasukkannya ke dalam beg tangan.
Katanya, kedua-dua suspek kemudian keluar dari kedai emas itu dengan alasan mahu mengambil wang untuk membuat pembayaran.
“Mereka bagaimanapun tidak kembali ke premis berkenaan selepas itu,” katanya.
Menurutnya, jurujual terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 14 jam selepas kejadian.
Polis kini sedang mengesan kedua-dua wanita terbabit bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
