BUTTERWORTH – Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan tonggak pertahanan Pulau Pinang era 80-an Dzulkifli Ali meninggal dunia pada usia 65 tahun, semalam.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas tiga hari menerima rawatan akibat komplikasi jantung dan usus.
Anak ketiganya, Nor Amylia, 32, berkata keadaan kesihatan bapanya semakin merosot sejak kebelakangan ini selepas mengalami masalah jantung kira-kira dua tahun lalu, selain penyakit usus sejak hampir setahun.
Menurutnya, Allahyarham beberapa kali dimasukkan ke hospital sebelum ini bagi mendapatkan rawatan berkaitan masalah kesihatannya.
“Abah nampak semakin lemah. Kami pujuk dia pergi hospital tetapi pada awalnya abah kata dia mahu pergi pada Rabu (semalam). Kami pujuk juga dan akhirnya bawa dia ke hospital pada awal pagi Ahad,” katanya selepas pengebumian bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bagan Jermal di sini selepas solat Asar.
Nor Amylia berkata, keadaan bapanya bertambah kritikal sehingga terpaksa ditidurkan sekitar tengah malam Selasa selepas paras oksigen dalam badannya semakin menurun.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Pulau Pinang, Mahathir Mohd Jamal Mohd, menyifatkan pemergian Dzulkifli sebagai kehilangan besar kepada keluarga, rakan-rakan serta komuniti bola sepak negeri itu.
Katanya, Allahyarham bukan sahaja dikenang sebagai bekas pemain, malah sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar persatuan bekas pemain bola sepak Pulau Pinang.
Dzulkifli dikenali sebagai pertahanan kental yang memiliki gaya permainan agresif dan mampu beraksi sebagai bek kanan serta pertahanan tengah.
Allahyarham turut pernah menyarung jersi kebangsaan dan menjadi sebahagian daripada skuad negara yang berdepan beberapa pemain ternama dunia, termasuk legenda England, Kevin Keegan, pada 1984.
Selepas menggantung kasut, Dzulkifli masih aktif dalam arena bola sepak dengan menyertai perlawanan persahabatan dan kejohanan veteran kebangsaan bersama bekas rakan sepasukannya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak. Seorang lagi anaknya terlebih dahulu meninggal dunia pada 30 Jun tahun lalu. -BERNAMA