Agenda reformasi, pembangunan ekonomi, pengukuhan parti jadi tumpuan Kongres PKR – Amirudin
BANGI – Agenda reformasi, pembangunan ekonomi dan pengukuhan parti akan menjadi tumpuan ketika Kongres Nasional PKR 2026 yang berlangsung hujung minggu ini.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada kongres berkenaan, kepentingan kestabilan kerajaan serta masa depan parti turut diambil kira dalam membuat sebarang keputusan.
“Setakat ini, usulnya sangat jelas… berkenaan dengan politik iaitu bagaimana mengangkat agenda reformasi, membangunkan ekonomi, pengukuhan parti selain ucapan dasar presiden,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Human Ecology International Conference II (HEIC-II) 2026, di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai keputusan parti memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah Anwar daripada jawatan Timbalan Presiden PKR, Amirudin berkata perkara itu tidak akan menjejaskan perjalanan kongres berkenaan.
“Parti sudah pasti sedikit sebanyak akan terkesan tetapi kita mempunyai barisan kepimpinan yang kaliber untuk menanggung kerja tersebut dan parti telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (menjalankan tugas Timbalan Presiden),” katanya lagi.
Terdahulu, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan memberi cuti sementara kepadanya daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti, bermula selepas Kongres Nasional PKR 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Ketika diminta mengulas sama ada keputusan Nurul Izzah itu mengejutkan parti, Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, spekulasi mengenai perkara itu telah timbul sejak sekian lama.
“Saya rasa spekulasi sudah timbul lama oleh pemain-pemain politik dan saya dengar-dengar juga. Cuma itu baru dikemukakan sekarang dan beliau juga kena melihat masa dan kita kena hormati… sebab tiada guna kita memaksa beliau bila ada beberapa kekangan yang perlu ditangani secara peribadi,” kata Amirudin lagi.
Kongres Nasional PKR 2026 akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka selama empat hari bermula Khamis ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dijadual merasmikan kongres berkenaan pada hari Sabtu (15 Ogos).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








