859,750 pengundi berdaftar bakal tentukan kerajaan Negeri Sembilan esok
TAMPIN – Seramai 859,750 daripada keseluruhan 889,940 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok bagi memilih 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar itu, seramai 7,391 individu telah selesai mengundi secara pos.
Beliau berkata, sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang, dengan 15,344 petugas pilihan raya ditugaskan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
“Sepanjang tempoh berkempen, SPR turut merekodkan sebanyak 267 kesalahan pilihan raya,” katanya selepas meninjau proses semakan isi peti undi PRN Negeri Sembilan di Dewan Perdana Tampin, hari ini.
Menurut Ramlan, proses semakan isi peti undi yang dijalankan di seluruh Negeri Sembilan berlangsung dengan lancar, termasuk di Parlimen Tampin yang melibatkan DUN Gemas, Gemencheh dan Repah.
Beliau berkata, semua peti undi dan peralatan pilihan raya akan disimpan di lokasi yang dikawal sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada petugas seawal pukul 5.30 pagi esok.
“Kita memberi jaminan semua peti undi dan peralatan pilihan raya berada dalam keadaan selamat sehingga proses pengundian bermula,” katanya memetik laporan BH Online.
Ramlan berkata, SPR menjangkakan keputusan awal PRN Negeri Sembilan boleh diketahui seawal pukul 10 malam, manakala keputusan penuh dijangka diperoleh sebelum tengah malam.
Pada PRN kali ini, seramai 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, melibatkan 36 calon Pakatan Harapan (PH), 25 calon Barisan Nasional (BN), 24 calon BERSATU, 11 calon Perikatan Nasional (PN), masing-masing seorang calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), selain empat calon Bebas.
Daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan, 21 DUN menyaksikan saingan tiga penjuru, 11 kerusi melibatkan pertandingan dua penjuru, manakala masing-masing dua kerusi menyaksikan saingan empat dan lima penjuru.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















