BERITA SEMASA

TalentCorp hubungkan bakat Malaysia di luar negara dengan generasi muda

SHAH ALAM – Selepas hampir tiga tahun menimba pengalaman di luar negara, pemain piano Malaysia bertaraf antarabangsa, Magdalene Ho, kembali ke tanah air bagi berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada lebih 300 pelajar serta pemuzik muda menerusi program In Conversation with Magdalene Ho: Lecture-Recital.

Program anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah inisiatif Malaysia@Heart (MyHeart) itu berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, selain turut membabitkan sesi bersama pelajar di UCSI Institute of Music.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi berkata, komuniti bakat Malaysia di seluruh dunia merupakan aset penting negara yang perlu terus dihubungkan dengan peluang untuk menyumbang semula kepada pembangunan tanah air.

“Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp memperkukuh hubungan antara Malaysia dengan komuniti bakat negara di peringkat global.

“Menerusi MyHeart, kami menyediakan platform yang tersusun untuk rakyat Malaysia di luar negara berkongsi kepakaran, memperluas rangkaian dan membawa pulang perspektif antarabangsa kepada generasi seterusnya di tanah air.

“Manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh pelajar, institusi pendidikan dan ekosistem bakat negara melalui akses kepada ilmu, bimbingan serta pengalaman global.

“Setiap sumbangan ini membantu membina bakat tempatan yang lebih yakin, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada masa depan Malaysia,” katanya.

Baca juga : Talentcorp, ECERDC jalin kerjasama perkukuh tenaga kerja Pantai Timur

Penglibatan Magdalene merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melalui KESUMA dan TalentCorp menerusi inisiatif MyHeart yang menghubungkan rakyat Malaysia berkemahiran tinggi di luar negara dengan peluang untuk berkongsi kepakaran serta pengalaman antarabangsa.

Sepanjang program itu, peserta berpeluang mengikuti persembahan serta sesi interaktif yang mengetengahkan perjalanan kerjaya Magdalene sebagai pemuzik klasik di pentas antarabangsa.

Beliau turut berkongsi kepentingan disiplin, daya tahan, komitmen dan pembelajaran sepanjang hayat dalam membina kerjaya yang cemerlang, selain menggalakkan golongan muda berani mengejar impian tanpa melupakan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Pada usia 22 tahun, Magdalene kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Muzik di Royal College of Music, London menerusi biasiswa penuh.

Beliau mencipta nama di pentas antarabangsa selepas menjuarai Clara Haskil International Piano Competition pada 2023, sebelum menjadi wanita pertama menerima International German Piano Award pada 2024.

Kunjungan beliau ke Malaysia turut menyaksikan persembahan bersama pemain selo diaspora Malaysia, Sinjo Yap dan pemain biola tempatan, Alyssa Chong.

Magdalene berkata, kepulangannya kali ini amat bermakna kerana bukan sahaja dapat kembali membuat persembahan di Malaysia, malah berpeluang berinteraksi dengan pelajar dan masyarakat melalui muzik.

“Saya amat gembira kerana kembali berpeluang untuk membuat persembahan di Malaysia selepas hampir tiga tahun berada di luar negara. Saya juga berasa bertuah dapat bekerjasama dengan pemuzik tempatan yang berbakat serta berinteraksi dengan para pelajar dan masyarakat melalui muzik.

“Malah, kepulangan kali ini amat bermakna kerana saya berpeluang meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemui.

“Saya berharap perkongsian dan persembahan ini dapat menyuntik semangat kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk berani mengejar impian, melangkah ke pentas dunia dan pada masa yang sama terus menghargai hubungan dengan tanah air,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button