Selepas PN bersama BN, hanya BERSATU kekal sebagai pembangkang di Parlimen – Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu akan terus kekal sebagai parti pembangkang yang berprinsip dan memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, BERSATU ditubuhkan hasil perjuangan menentang kleptokrasi susulan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan asas perjuangan itu tidak boleh dilupakan walaupun landskap politik negara telah berubah.
Menurutnya, kedudukan BERSATU ketika ini lebih mencabar berbanding ketika awal penubuhannya kerana parti itu kini menjadi satu-satunya parti pembangkang yang benar-benar bebas di Parlimen.
“BERSATU akan terus istiqamah dengan dasar perjuangannya dan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa demi kepentingan rakyat serta masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing merupakan sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri, manakala kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan BN turut memberi kesan terhadap landskap pembangkang.
Beliau berkata, BERSATU perlu terus bertahan kerana terdapat kekosongan besar dalam politik negara apabila tiada lagi parti yang benar-benar berwibawa untuk menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap dasar kerajaan serta membawa suara rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Dalam kenyataannya, Muhyiddin turut mengkritik kerajaan berhubung pelaksanaan beberapa dasar yang didakwanya membebankan rakyat, termasuk kenaikan harga diesel dan petrol, selain mendakwa reformasi institusi masih gagal dilaksanakan secara berkesan.
Beliau juga menyelar UMNO dan BN kerana didakwa cuba mengalihkan kelemahan kerajaan kepada pihak lain, selain menggunakan naratif penyatuan Melayu untuk meraih sokongan politik.
Muhyiddin menegaskan BERSATU akan terus berpegang kepada matlamat asal perjuangannya untuk membela rakyat dan memajukan negara, meskipun berdepan pelbagai cabaran politik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















