Berita Semasa

Malaysia sedia gerakkan ATM ke Palestin sekiranya diberikan mandat

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tentera pengaman ke Palestin sekiranya terdapat sebarang keputusan atau diberikan mandat berbuat demikian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ATM sentiasa bersiap siaga, termasuk persediaan pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) negara yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL), sekiranya diperlukan segera antaranya bagi tujuan evakuasi rakyat Malaysia di kawasan terkesan.

“Biarpun sehingga kini tiada sebarang keputusan mengenai perkara itu daripada PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), kita tetap bersedia malah kementerian ikuti rapat perkembangan di Palestin serta bekerjasama dengan Kementerian Luar.

“Jadi kalau kerajaan kata hantar tentera ke Palestin, kita akan ikut, kerana sebarang keputusan untuk itu bukan dalam bidang kuasa Kementerian Pertahanan, sebaliknya tertakluk pada Kementerian Luar,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, sebarang keputusan untuk menghantar tentera ke Palestin secara unilateral memerlukan penilaian rapi daripada pelbagai pihak termasuk negara sekitar di kawasan yang bergolak.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau akan membawa isu berkaitan Palestin pada sesi perbincangan dengan Menteri Pertahanan ASEAN pada minggu depan sebagai topik sampingan bagi mendengar suara negara-negara rantau itu berkaitan konflik berkenaan.

“Kita nak dapatkan suara ASEAN, kerana kita ada satu pegangan iaitu ASEAN Centrality, sekiranya semua negara ASEAN bersetuju untuk kita hantar tentera ke Palestin di bawah panji PBB,” katanya lagi.

Sehingga kini, kata Mohamed, Malaysia sentiasa komited memberi sokongan bagi mencapai keamanan sejagat menerusi panji PBB dan ia terbukti melalui penglibatan dalam 37 misi, sama ada sebagai tentera pemerhati atau pengaman.

“… antaranya di Congo, Somalia, Namibia, Kemboja, Bosnia-Herzegovina, Timor Leste dan yang terkini di Lebanon, malah kini ATM masih terlibat dalam lima misi antarabangsa di bawah PBB,” katanya.

Sementara itu menjawab celahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) sama ada kerajaan bercadang menghantar tentera pengaman ke Palestin melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohammad berkata, perkara itu diserahkan untuk pertimbangan Wisma Putra memandangkan ia melibatkan negara lain.

Show More

Related Articles

Back to top button