BERITA SEMASA

Tersilap tekan pedal minyak, Proton Saga rempuh bilik tidur rumah penduduk

JOHOR BAHRU – Sebuah bilik tidur di Kampung Melayu Pandan musnah dirempuh kereta Proton Saga yang dipandu seorang wanita, dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada tersilap menekan pedal minyak, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, tiada penghuni berada di rumah kerana pemilik kediaman bersama anak dan abangnya keluar bekerja.

Pemilik rumah, Rafizah Jonit, 51, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut selepas dihubungi oleh jiran, sebelum segera bergegas pulang ke kediamannya.

Katanya, sebaik tiba di rumah, dia mendapati dinding papan bilik tidur rosak teruk selain banyak barangan di dalam bilik berkenaan turut mengalami kerosakan.

Menurutnya, jiran terdengar dentuman kuat ketika sedang menyidai pakaian sebelum mendapati rumahnya dirempuh kereta terbabit.

Rafizah berkata, dia dimaklumkan pemandu wanita berusia lingkungan 50-an itu dipercayai tersilap menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan.

Katanya, mereka belum pasti sama ada pemandu terbabit akan menanggung kos baik pulih kerosakan, namun kejadian itu menimbulkan pelbagai kesulitan kepada keluarganya.

Buat masa ini, bahagian rumah yang rosak hanya ditutup menggunakan kanvas kerana mereka buntu memikirkan kos pembaikan memandangkan dia bekerja sebagai kerani, manakala abangnya yang berusia 54 tahun bekerja sebagai penghantar barangan.

Terdahulu, Rafizah turut dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Chan San San.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button