Pelan induk JS-SEZ dimuktamad dalam masa terdekat
PUTRAJAYA – Pelan induk bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua negara turut menyambut baik kemajuan pelaksanaan JS-SEZ yang diwujudkan dengan tujuan memperkukuhkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi kedua buah negara.
Tambahnya, mereka turut bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-Singapura, perkembangan serantau serta pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama, selain menyentuh perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan beberapa perkara tertangguh.
“Kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk terus menyelesaikan apa jua isu yang masih berbangkit melalui rundingan konstruktif, berlandaskan semangat saling menghormati dan persefahaman yang telah dipersetujui bersama.
“Semoga hubungan Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pertemuan kira-kira 40 minit itu berlangsung di sebuah hotel di ibu negara sempena lawatan negara tiga hari Tharman ke Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








