Bintang ‘Jurassic Park’, Sam Neill meninggal dunia pada usia 78 tahun
WELLINGTON – Pelakon terkenal New Zealand, Sam Neill yang dikenali menerusi watak Dr Alan Grant dalam francais filem Jurassic Park meninggal dunia pada usia 78 tahun di Sydney, Australia.
Pemergiannya disahkan oleh keluarga dalam satu kenyataan yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang ‘mengejut dan tidak dijangka’.
Menurut kenyataan keluarga, Neill menghembuskan nafas terakhir dikelilingi ahli keluarga dan ‘pergi’ dengan penuh maruah sebagaimana beliau menjalani seluruh kehidupannya.
“Kehilangannya berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka, namun kami bersyukur kerana Sam bebas daripada kanser ketika beliau meninggal dunia,” menurut kenyataan tersebut, memetik laporan BBC News.
Pada 2023, Neill mendedahkan beliau menghidap angioimmunoblastic T-cell lymphoma, sejenis kanser darah yang jarang berlaku. Namun, pada April lalu beliau mengumumkan bahawa dirinya bebas daripada kanser selepas menjalani rawatan.
Dilahirkan di Omagh, Ireland Utara pada 1947, Neill berhijrah ke New Zealand bersama keluarganya ketika berusia tujuh tahun.

Sepanjang kerjaya lebih lima dekad, beliau membintangi lebih 50 filem dan siri televisyen, sekali gus muncul sebagai antara pelakon paling disegani di peringkat antarabangsa.
Nama Sam Neill melonjak di persada dunia apabila membawakan watak ahli paleontologi, Dr Alan Grant dalam filem Jurassic Park (1993), sebelum mengulangi watak tersebut dalam beberapa filem susulan francais berkenaan.
Selain itu, beliau turut dikenali menerusi lakonan dalam The Piano, The Hunt for Red October, Event Horizon serta siri televisyen Peaky Blinders di mana beliau memegang watak ketua polis Belfast.
Selain dunia lakonan, Neill turut dikenali kerana sifatnya yang merendah diri, kecintaan terhadap ladang dan kebun anggurnya di New Zealand, serta sering berkongsi kehidupan hariannya bersama peminat melalui media sosial. Beliau dianugerahkan gelaran kesatria pada 2022 atas sumbangannya kepada industri perfileman.
Pemergian Sam Neill disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada industri perfileman dunia. Mendiang meninggalkan empat orang anak serta legasi lakonan yang terus dikenang oleh peminat di seluruh dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








