Malaysia kemuka permohonan rasmi sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB
KUALA LUMPUR – Malaysia sudah mengemukakan permohonan rasmi bagi menganggotai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Anggota Tidak Tetap bagi tempoh 2036 hingga 2037.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Malaysia mempunyai rekod baik sebagai Anggota Tidak Tetap sebanyak empat kali sebelum ini.
“Insya Allah, pada September ini, dalam Sesi Debat Umum Perhimpunan Agung PBB Ke-81 di New York, Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan terus menegaskan pendirian Malaysia dalam isu ini ketika menyampaikan Kenyataan Negara.
“Agenda reformasi Majlis Keselamatan PBB dan isu keselamatan dan keamanan sejagat akan terus menjadi satu keutamaan dalam dasar luar Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai pendirian Malaysia terhadap ketidakseimbangan kuasa veto oleh kuasa besar dunia dalam Majlis Keselamatan PBB dan apakah pendekatan strategik dalam memperjuang reformasi sistem PBB dan usaha berterusan bagi memperkukuh peranan serta kedudukan Malaysia yang lebih signifikan dalam institusi antarabangsa itu.
Lukanisman berkata, penyalahgunaan kuasa veto oleh kuasa besar dunia menjejaskan kredibiliti Majlis Keselamatan PBB, menyebabkan institusi itu sering gagal melaksanakan mandat utamanya di bawah Piagam PBB untuk memelihara keamanan dan keselamatan sejagat, termasuk dalam menangani konflik di Asia Barat dan mempertahankan hak asasi mutlak rakyat Palestin.
“Malaysia secara konsisten menyokong dan menggesa pelaksanaan reformasi Majlis Keselamatan PBB secara menyeluruh, termasuk kuasa veto.
“Pendirian Malaysia adalah jelas bahawa kuasa veto adalah tidak adil dan perlu dimansuhkan.
“Paling tidak, penggunaan kuasa veto mesti dimansuhkan sama sekali dalam kes pencabulan undang-undang antarabangsa membabitkan jenayah berat, seperti jenayah perang, genosid, jenayah terhadap kemanusiaan serta pemusnahan infrastruktur awam secara sengaja, seperti yang berlaku di Gaza,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








