Jangan lupa skandal 1MDB, jadi pengajaran kepada pengundi – Gobind
JOHOR BAHRU – Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menggesa pengundi Johor supaya tidak melupakan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berlaku ketika Barisan Nasional (BN) menerajui Kerajaan Persekutuan.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, skandal berbilion ringgit itu perlu dijadikan pengajaran supaya pentadbiran yang sama tidak berulang, selain memastikan rakyat tidak lagi menanggung beban akibat salah urus kewangan negara.
Menurutnya, walaupun ada pihak meminta rakyat melupakan isu lampau, skandal 1MDB tidak boleh diketepikan kerana kesannya masih ditanggung rakyat sehingga kini.
“Kita rugi bukan satu atau dua juta ringgit, tetapi berbilion-bilion ringgit. Siapa yang tanggung? Rakyat yang tanggung.
“Apabila kita kemukakan bukti dahulu, mereka kata tiada kes. Namun apabila kes dibawa ke mahkamah, mahkamah memutuskan ada kes dan menjatuhkan hukuman (kepada Najib Razak),” katanya ketika berucap pada program Malam Harapan Johor Bahru Selatan di sini malam ini.
Gobind berkata, ketika BN mentadbir negara, rakyat didakwa terpaksa menanggung hutang 1MDB yang sehingga kini masih memberi kesan kepada kewangan negara.
Beliau turut mempersoalkan mengapa rakyat perlu terus menanggung hutang berkenaan, sedangkan ia berpunca daripada skandal yang berlaku ketika pentadbiran terdahulu.
Tegas beliau, PH tetap berpendirian bahawa skandal seperti 1MDB tidak boleh berulang dan kerajaan yang dipilih perlu mengamalkan tadbir urus yang bersih serta berintegriti.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi menolak BN pada PRN Johor dan memberi sokongan kepada PH bagi memastikan insiden seperti skandal 1MDB tidak berulang pada masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















