Pekerja syarikat bekalan air didakwa tipu dua wanita lebih RM108,000
SEREMBAN – Seorang pekerja syarikat bekalan air mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dan memperdayakan dua wanita sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan RM108,500 antara Disember tahun lalu hingga Mei lalu.
Tertuduh, Mohd Rashid Sidek, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli dan Norsalihah Sulaiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curangnya memperdayakan seorang wanita berusia 38 tahun sehingga mangsa membuat pembayaran berjumlah RM96,500, yang tidak akan dilakukannya jika tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rashid didakwa menipu seorang lagi wanita berusia 34 tahun sehingga mendorong mangsa memindahkan wang RM12,000 ke akaun bank miliknya.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Nada Embun dan Taman Nilam Sari, di sini, antara 30 Disember 2025 hingga 4 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Ideris dan J.G. Vesvanathan, yang masing-masing mencadangkan jaminan RM6,000 dan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 6 Ogos dan 12 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta pelantikan peguam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














