JS-SEZ: Onn Hafiz dakwa kenyataan PM tidak tepat, boleh mengelirukan rakyat
JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempertahankan kenyataannya berhubung status Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan menegaskan hanya mahu memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat serta pelabur adalah tepat.
Beliau berkata, walaupun bukan bertaraf Perdana Menteri, setiap kenyataan yang dibuat oleh pemimpin nombor satu negara seharusnya berasaskan fakta yang tepat, khususnya melibatkan inisiatif strategik negara.
Menurutnya, Pelan Induk JS-SEZ merupakan dokumen milik Kerajaan Malaysia yang tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya melalui proses libat urus dan maklum balas daripada republik itu, yang didakwanya telah selesai.
“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kenyataan Perdana Menteri yang memberi gambaran seolah-olah pelan induk tersebut masih perlu menunggu persetujuan pada sesi Leaders’ Retreat serta memerlukan tandatangan kedua-dua Perdana Menteri adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.
Menteri Besar berkata, teguran itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan setiap inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada Johor dapat dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan.
Beliau turut memaklumkan ramai pelabur sedang menantikan pelancaran pelan induk tersebut kerana ia mampu meningkatkan keyakinan untuk terus melabur di JS-SEZ, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada Johor dan Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau menyifatkan kenyataan yang tidak tepat mengenai pelan induk itu boleh memberi kesan kepada keyakinan rakyat serta pelabur sedia ada dan berpotensi, selain menegaskan ketelitian dalam membuat kenyataan adalah penting bagi menjaga kredibiliti negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















