Platform media sosial gagal patuh kod risiko boleh didenda hingga RM10 juta – Nie Ching
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengingatkan penyedia platform media sosial supaya tidak mengutamakan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan aspek keselamatan dan kebajikan pengguna.
Nie Ching berkata, menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperkenalkan Kod Mitigasi Risiko (Risk Mitigation Code) yang mewajibkan penyedia platform berlesen melaksanakan beberapa langkah bagi melindungi pengguna.
Menurut beliau, antara kewajipan yang ditetapkan ialah melabelkan kandungan yang berkemungkinan dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Jangan kerana mereka nak dapatlah keuntungan, tetapi mereka menabaikan kebajikan pengguna-pengguna mereka.
“Di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, MCMC telah kemukakan satu kod iaitu Kod Mitigasi Risiko. Ini merupakan satu kewajipan terhadap penyedia platform yang berlesen untuk label kandungan-kandungan yang ada kemungkinan dijana menggunakan AI,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat.
Beliau berkata, kod tersebut turut mewajibkan penyedia platform media sosial mengenal pasti identiti pihak yang menyiarkan iklan bagi membendung penyalahgunaan akaun palsu untuk tujuan penipuan.
“Kod Mitigasi Risiko juga meletakkan satu kewajipan terhadap platform media sosial supaya mereka mengenal pasti identiti siapa yang sebenarnya buat iklan pada platform mereka.
“Kerana masalah yang kita hadapi sekarang adalah satu akaun palsu yang diwujudkan. Mereka tak pernah buat apa-apa pengesahan, tetapi mereka boleh guna imej Yang Berhormat Bera, imej Yang Berhormat Arau untuk buat kandungan, untuk skem pengguna-pengguna di Malaysia,” katanya.
Teo berkata, penyedia platform juga diwajibkan membuat pengesahan identiti pengguna menerusi agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap Kod Mitigasi Risiko.
Tambah beliau, tindakan tegas akan dikenakan terhadap penyedia platform yang gagal mematuhi kewajipan tersebut.
“Dan kalau mereka gagal untuk mematuhi kewajipan-kewajipan yang telah diwujudkan di bawah Risk Mitigation Code.
“Untuk maklumat Yang Berhormat, pertama, kalau mereka didakwa ke mahkamah, disabit bersalah, mereka bolehlah dikenakan hukuman denda sebanyak RM1 juta ataupun mereka juga boleh dikenakan penalti kewangan berjumlah RM10 juta oleh MCMC,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















