Startup AI tempatan sasar 2 juta pengguna aplikasi kesihatan digital MyMedix dalam tempoh setahun
KUALA LUMPUR – Syarikat pemula teknologi kecerdasan buatan (AI) tempatan, Medi Risk Technologies Sdn Bhd menyasarkan seramai dua juta pengguna bagi aplikasi kesihatan digital MyMedix dalam tempoh setahun pertama pelaksanaannya, menerusi pelbagai kerjasama strategik di dalam dan luar negara.
Sasaran itu diumumkan selepas syarikat berkenaan bersama anak syarikatnya, My Medi Consultant Sdn Bhd mengadakan sesi perancangan perniagaan selama tiga hari di Jakarta, Indonesia baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan ekosistem AI kesihatan ke peringkat serantau.

Dalam perkembangan sama, dua pakar dalam bidang insurans dan takaful, Kumaran Chinan dan Hilal Haizan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Medi Risk Technologies Sdn Bhd dan My Medi Consultant Sdn Bhd.
Kumaran berkata, sepanjang lawatan ke Jakarta, syarikat memberi tumpuan kepada usaha membina kerjasama strategik dengan kementerian, agensi kerajaan, hospital, syarikat insurans dan takaful serta koperasi.
Menurut beliau, kerjasama itu bertujuan mempercepatkan penggunaan teknologi AI dalam bidang saringan kesihatan, pengurusan risiko dan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.
“MyMedix berpotensi menjadi aplikasi kesihatan berasaskan AI yang digunakan secara meluas di peringkat global dan pembangunan itu bermula di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Aplikasi MyMedix membolehkan pengguna menjalankan saringan kesihatan hanya menggunakan kamera telefon pintar dalam tempoh kira-kira 30 saat, dengan keupayaan menganalisis lebih 40 parameter kesihatan.
Antara parameter yang boleh dianalisis termasuk kadar denyutan jantung, tahap oksigen dalam darah (SpO₂), kadar pernafasan, kebolehubahan kadar jantung (HRV) serta tahap tekanan.
Menurut syarikat itu, MyMedix turut berpotensi menyokong sektor kesihatan dan industri insurans menerusi penyelesaian saringan digital, pemantauan kesihatan, teleperubatan serta penilaian risiko yang dipacu teknologi AI.
Medi Risk Technologies optimis sasaran dua juta pengguna dapat dicapai menerusi rangkaian kerjasama strategik yang sedang dibangunkan, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju pembangunan teknologi AI dalam sektor kesihatan di rantau ASEAN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














