BERITA SEMASA

Kerajaan lulus RM13.8 bilion bangunkan semula 1,250 sekolah daif

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara sejak 2016 dengan kos keseluruhan sebanyak RM13.8 bilion.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 813 projek sudah siap dilaksanakan setakat ini.

“Daripada jumlah itu, 813 projek telah siap, 173 projek berada pada peringkat pembinaan manakala 264 lagi di peringkat prapembinaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah sekolah daif yang berjaya disiapkan dalam tempoh tahun 2025 hingga suku ketiga 2026 di seluruh negara.

Fadhlina kemudiannya berkata, sebanyak 64 projek pembangunan semula sekolah daif berjaya disiapkan di seluruh negara dalam tempoh 2025 hingga suku kedua 2026.

Daripada jumlah itu, 48 projek disiapkan sepanjang 2025 membabitkan 13 negeri, dengan Sarawak merekodkan jumlah tertinggi iaitu 17 projek, diikuti Sabah sebanyak 10 projek.

Bagi 2026 pula, beliau berkata, 16 lagi projek berjaya disiapkan sehingga suku kedua membabitkan tujuh negeri, dengan Sarawak sekali lagi mencatat jumlah tertinggi iaitu lapan projek, diikuti Pahang dan Perak masing-masing dua projek.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) kekal komited memastikan setiap murid mendapat akses kepada persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

“Komitmen ini bukan sekadar janji, malah telah dan sedang ditunaikan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Tambahnya, kementerian akan terus memastikan projek pembangunan semula sekolah daif dilaksanakan mengikut jadual serta mematuhi piawaian yang ditetapkan, di samping memantau kemajuan projek yang sedang berjalan dan mempercepatkan penyelesaiannya.

“Setiap projek mesti disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, berkualiti tinggi dan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat setempat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button