Polis Osaka perkenal ‘AIko’ bagi tangani peningkatan kes penipuan penyamaran
OSAKA – Pihak polis di wilayah ini memperkenalkan seorang ketua polis maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) dikenali sebagai ‘AIko’ dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap jenayah penipuan penyamaran yang semakin berleluasa, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurut laporan agensi berita Kyodo News, AIko yang menggabungkan perkataan ‘AI’ dan akhiran ‘ko’ yang lazim digunakan dalam nama wanita Jepun, tampil dengan suara serta penampilan seorang wanita muda.
Menerusi saluran YouTube Polis Wilayah Osaka, AIko berperanan memberi peringatan mengenai pelbagai bentuk penipuan yang kini bukan sahaja menyasarkan warga emas, malah individu berusia antara 20 hingga 60 tahun.
Polis memaklumkan, mangsa sering diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis, selebriti yang mempromosikan skim pelaburan atau pasangan romantik dalam talian, sehingga menyebabkan kerugian kewangan.
AIko membuat penampilan sulungnya menerusi klip video yang disiarkan pada penghujung Mei lalu, yang memaparkan contoh sebenar modus operandi penipuan serta simulasi perbualan antara penipu dan mangsa.
Data awal yang dikeluarkan polis menunjukkan bahawa hampir separuh daripada mangsa penipuan seumpama itu di Wilayah Osaka pada tahun lalu terdiri daripada individu berusia 64 tahun ke bawah.
Profesor pelawat di Kagawa University Cyber Security Center, Toshinori Hirano yang telah lama bekerjasama dengan pihak polis sebelum membangunkan AIko, berkata beliau berharap penggunaan teknologi tersebut dapat membantu memperkukuh usaha pencegahan jenayah.
“Kami berharap dapat meningkatkan kesedaran pencegahan jenayah menerusi penggunaan teknologi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





