Parti diterajui Hamzah, PEJUANG diterima sertai PN
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) meluluskan permohonan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) untuk menjadi parti anggota gabungan tersebut.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas PN yang berlangsung selama kira-kira dua jam bermula jam 9.30 malam tadi.
Menurut beliau, mesyuarat yang dihadiri semua wakil parti komponen termasuk PAS, BERSATU, Gerakan dan parti-parti bersekutu itu turut membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Mesyuarat malam ini hanya mempunyai dua agenda utama iaitu berkaitan keanggotaan PN dan persiapan PRN Johor serta perancangan menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Bagi agenda pertama, mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti politik untuk menjadi anggota PN iaitu PEJUANG dan PCM,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas PN malam tadi.
Mengulas lanjut, Samsuri berkata, mesyuarat turut bersetuju mempercepatkan proses rundingan pengagihan kerusi melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN bagi menghadapi PRN Johor.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan dijadualkan bermesyuarat pada Selasa bagi memuktamadkan agihan kerusi sebelum hari penamaan calon.
“Saya dimaklumkan semua parti telah bersetuju menghantar wakil masing-masing untuk menyertai rundingan tersebut.
“Perkara paling mustahak ketika ini ialah memastikan segala persiapan dapat diselesaikan segera sebelum penamaan calon pada Sabtu ini,” katanya lagi.
Menurut beliau, setiap parti komponen akan menghantar dua wakil ke dalam jawatankuasa tersebut yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ditanya mengenai suasana mesyuarat, Samsuri menegaskan perbincangan berlangsung dalam keadaan harmoni walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen.
“Dalam mana-mana mesyuarat, sudah tentu ada pandangan yang sama dan ada yang berbeza. Itu perkara biasa.
“Namun akhirnya kita mencapai keputusan secara bersama dan semua pihak berdiri di atas keputusan tersebut,” katanya lago.
Beliau turut berkata, mesyuarat itu berlangsung dalam suasana terbuka dengan setiap wakil bebas mengemukakan pandangan masing-masing.
“Suasana sangat harmoni. Semua pihak dapat menyuarakan pandangan dengan bebas tanpa sebarang sekatan dan perbincangan yang berlaku bersifat membina,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan sebarang butiran mengenai cadangan agihan kerusi kerana perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat jawatankuasa rundingan esok..
Baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan beliau mengambil alih PCM sebelum menjenamakannya semula sebagai Parti Wawasan Negara (PWN).
Parti itu kemudiannya dikemukakan untuk menyertai PN sebagai salah satu parti komponen baharu gabungan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








