BERITA SEMASA

BERSATU tidak boleh dipecat sesuka hati daripada PN, kuasa Pengerusi terhad

KUALA LUMPUR – Parti anggota dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk BERSATU tidak boleh dipecat secara sewenang-wenangnya kerana sebarang tindakan disiplin hanya boleh diputuskan mengikut peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan gabungan tersebut.

Bekas Setiausaha Sulit kepada Presiden BERSATU, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Fasal 7A Perlembagaan PN memperuntukkan bahawa hanya Majlis Presiden yang dianggotai oleh presiden-presiden parti anggota mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad berkaitan tindakan disiplin terhadap mana-mana parti komponen.

Malah katanya, setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden perlu dipersetujui secara sebulat suara oleh semua presiden parti anggota.

“Sekiranya seorang presiden tidak bersetuju, maka tiada sebarang tindakan boleh diambil,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam isu pemberian watikah calon dan penetapan kerusi pilihan raya pula katanya, kuasa berkenaan turut terletak di bawah bidang kuasa Majlis Presiden selepas perkara tersebut dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.

Katanya, Perlembagaan PN juga menetapkan bahawa keputusan berkaitan agihan kerusi pilihan raya perlu diputuskan secara sebulat suara oleh Majlis Presiden.

Sehubungan itu katanya, dakwaan bahawa Pengerusi PN mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan agihan kerusi pilihan raya dan mengeluarkan watikah calon disifatkan tidak selari dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan gabungan tersebut.

“Tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memberikan kuasa mutlak kepada Pengerusi PN untuk membuat ketetapan kerusi pilihan raya dan memberikan watikah calon,” menurutnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button