Shah Firdaus tumpaskan Azizulhasni rangkul emas keirin
NILAI – Pelumba Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan penantian empat tahun untuk kembali bergelar juara kebangsaan selepas menjuarai acara keirin elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, hari ini.
Kejayaan itu diraih selepas beliau menewaskan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam perlumbaan akhir yang berlangsung sengit hingga ke garisan penamat.
Muhammad Shah Firdaus, 30, berjaya mempertahankan kedudukannya di hadapan meskipun menerima tekanan hebat daripada Mohd Azizulhasni pada penghujung perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat untuk meraih pingat emas.
Kemenangan itu menyaksikan beliau kembali mengungguli acara berkenaan selepas kali terakhir muncul juara pada edisi 2022.
Mohd Azizulhasni, 38, yang beraksi mewakili Team Azizul terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala gangsa menjadi milik pelumba Selangor, Muhammad Fadhil Mohd Zonis.
Sementara itu, acara keirin elit wanita menyaksikan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menghadiahkan pingat emas buat Kedah selepas menampilkan kayuhan cemerlang.
Nurul Izzah sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila menewaskan Nur Alyssa Mohd Farid dari Johor yang meraih pingat perak, manakala pelumba Team Cahya Mata, Anis Amira Rosidi melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan pingat gangsa.
Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 yang membuka tirainya semalam dijadual melabuhkan tirai pada Jumaat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















