
Teknologi MPOB tawar lebih 300 teknologi untuk dikomersialkan
BANGI – Lebih 300 teknologi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibangunkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ditawarkan untuk dikomersialkan menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB 2026).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, program tahunan yang akan berlangsung di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi itu berperanan sebagai pemangkin transformasi landskap perniagaan dengan memberi akses kepada teknologi terkini dan produk inovatif berasaskan sawit.
Menurutnya, program tersebut dirangka khusus untuk membantu usahawan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mengkomersialkan inovasi yang mempunyai potensi pasaran bernilai tinggi.
“Melalui TOT MPOB, usahawan bukan sahaja memperoleh akses kepada teknologi terkini dan produk inovatif, malah berpeluang menjana pendapatan lebih tinggi menerusi penghasilan produk bernilai tambah yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengkomersialan pelbagai teknologi MPOB di sepanjang rantaian industri setakat ini telah menjana potensi pasaran melebihi RM6.2 bilion.
“Pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan usaha penyelidikan dan pembangunan MPOB dalam menghasilkan inovasi yang mampu memberi impak ekonomi serta manfaat kepada industri sawit negara,” katanya lagi.
Dalam masa sama, penganjuran TOT MPOB 2026 turut menyokong agenda keterjaminan makanan negara dan mempercepatkan transformasi industri sawit ke arah ekonomi bernilai tinggi.
MPOB turut mengalu-alukan penyertaan usahawan dan penggiat industri dalam sesi taklimat peluang pengkomersialan teknologi yang dijadual bermula pada jam 2.30 petang sepanjang program berlangsung.
Program itu dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara institusi penyelidikan, industri dan usahawan bagi mempercepatkan pemindahan teknologi serta memperluaskan penggunaan inovasi tempatan ke pasaran komersial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















