Lelaki maut, lapan ditahan polis dalam serbuan dadah di hotel mewah
KUALA LUMPUR – Lapan lelaki termasuk enam warga asing bersama sejumlah dadah ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah bilik di hotel lima bintang di ibu kota susulan kematian seorang lelaki, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook, serbuan dijalankan selepas polis menerima laporan kematian seorang lelaki tempatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dibawa dari hotel berkenaan.
Beliau berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields diketuai Inspektor Mohd Hanif kemudian menyerbu bilik hotel yang didiami si mati kira-kira pukul 4 pagi tadi.
“Polis menahan lapan lelaki terdiri dua warga tempatan serta enam warga asing terdiri dua warga Singapura serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.
“Polis turut merampas satu paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram dan tiga pil disyaki ekstasi seberat 0.7 gram, kesemua dianggarkan bernilai RM225,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan Hook menambah, semua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas kematian lelaki terbabit, Chan Hook berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibawa turun oleh rakannya dari bilik hotel kira-kira jam 3.10 pagi selepas tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Jabatan Kecemasan HKL.
“Bedah siasat ke atas mangsa yang berusia 31 tahun dijalankan pada jam 9.30 pagi tadi dan kita masih menunggu keputusan makmal mengenai punca kematian.
“Buat masa ini, kematian lelaki itu diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








