Wang hantaran, cincin tunang musnah dalam kebakaran
TAWAU – Kegembiraan seorang pemuda menanti hari pertunangannya bertukar duka apabila wang hantaran, cincin dan pelbagai persiapan majlis hangus dalam kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Blok 5 Kampung Titingan, di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu, Rickymil Ramli, 22, kerugian lebih RM20,000 selepas rumah keluarganya musnah dijilat api hanya dua hari sebelum majlis pertunangannya berlangsung Ahad ini.

Menurutnya, segala persiapan untuk majlis tersebut telah dibuat lebih awal termasuk wang hantaran dan cincin pertunangan.
“Hari ini saya sebenarnya bercadang mahu memasukkan sebahagian wang hantaran ke dalam bank, tetapi tidak sangka diuji dengan kejadian seperti ini.
“Semua persiapan termasuk cincin dan wang hantaran hangus terbakar, namun saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kebakaran itu bukan sahaja memusnahkan rumah keluarganya, malah turut melibatkan dua rumah ahli keluarga lain yang terletak bersebelahan.
Sementara itu, bapa saudaranya, Irasmi Baso, 49, berkata, api merebak dengan pantas dipercayai akibat cuaca panas serta tiupan angin kuat dari arah laut.
“Api cepat merebak dan kami cuba memadamkannya menggunakan apa yang ada, tetapi tekanan air terlalu perlahan menyebabkan kebakaran sukar dikawal,” katanya memetik laporan BH Online.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.36 tengah hari sebelum mengerahkan dua jentera bersama lori tangki air dan 21 anggota ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, sebaik pasukan tiba, api sedang marak dan telah memusnahkan tiga rumah.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran 30 minit kemudian dan menyelamatkan hampir 200 rumah berhampiran daripada turut terbakar sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.20 petang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















