LUAR NEGARA

Bennett-Lapid sepakat satu tiket, cabar Netanyahu

BAITULMAQDIS – Bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett dan ketua pembangkang, Yair Lapid, sah bergabung bagi bertanding atas satu tiket dalam pilihan raya akan datang, tindakan yang dilihat sebagai langkah tersusun untuk menamatkan dominasi Benjamin Netanyahu.

Penyatuan dua tokoh berbeza latar politik itu memberi isyarat jelas bahawa matlamat utama mereka kini adalah menumbangkan Netanyahu, mengatasi perbezaan ideologi yang sekian lama memisahkan kedua-duanya.

Bennett mengumumkan kerjasama tersebut dalam satu kenyataan bersama Lapid, dengan memaklumkan mereka akan bertanding di bawah parti baharu dikenali sebagai Beyahad (Bersama).

“Saya gembira mengumumkan bahawa malam ini, bersama sahabat saya Yair Lapid, kami mengambil langkah paling patriotik demi negara,” katanya.

Menurut beliau, gabungan itu diyakini mampu mencipta kemenangan besar serta membuka lembaran baharu dalam landskap politik Israel.

Lapid pula menyifatkan Bennett sebagai pemimpin sayap kanan yang berintegriti, selain menegaskan wujud kepercayaan kukuh antara mereka.

Terdahulu, Lapid memaklumkan penyatuan tersebut sebagai usaha membentuk Blok Pemulihan, bagi memfokuskan agenda membawa perubahan kepada negara itu.

Dalam pada itu, Bennett berjanji akan menubuhkan suruhanjaya siasatan kebangsaan bagi menyiasat kegagalan yang membawa kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, sekiranya dipilih.

Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini lantang mengkritik cara Netanyahu mengendalikan perang, termasuk keputusan berkaitan gencatan senjata yang disifatkan Lapid sebagai “bencana politik”.

Untuk rekod, Bennett dan Lapid pernah membentuk kerajaan gabungan pada Jun 2021 sebelum tumbang pada penghujung 2022, yang membuka laluan kepada Netanyahu kembali menerajui pentadbiran.

Tinjauan pendapat terkini menunjukkan Bennett antara calon paling berpotensi mencabar Netanyahu dalam pilihan raya yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Oktober ini.

Pada masa sama, Bennett turut menggesa bekas menteri, Gadi Eisenkot, menyertai gabungan tersebut bagi mengukuhkan peluang kemenangan.

Netanyahu, 76, yang mengetuai parti Likud, kekal sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel dengan lebih 18 tahun memegang jawatan merentasi beberapa penggal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button