Berita Semasa

Bajet 2024: MPSepang lulus peruntukan perbelanjaan sebanyak RM249,814,260

SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meluluskan perbelanjaan sebanyak RM249,814,260 bagi Bajet 2024.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, belanjawan itu mengambil kira prestasi pencapaian pada 2022 dan separuh penggal pertama 2023 dalam memastikan dasar dan strategi MPSepang dilaksana sepenuhnya.

“MPSepang telah menyediakan bajet defisit tahun 2024 dengan hasil berjumlah RM202,038,100, perbelanjaan berjumlah RM249,814,260 dengan defisit berjumlah RM47,776,100,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh di sini hari ini.

Beliau berkata, bajet tersebut akan mengekalkan tema yang sama iaitu “Sepang Pemacu Kecemerlangan”.

Mengulas lanjut katanya, bagi pembangunan daerah Sepang, pihaknya telah mensasarkan 7 strategi utama.

“Pertama, mempelbagaikan punca pendapatan MPSepang melalui penambahan hasil- hasil baru dan sedia ada; meneruskan perbelanjaan berhemah; meningkatkan kualiti persekitaran dan perkhidmatan bandar serta meningkatkan kebolehcapaian pelanggan kepada sistem penyampaian melalui penambahbaikan sistem ICT.

“Selain itu, memperkasakan program kemasyarakatan dan kebajikan bersama penduduk daerah Sepang; meningkatkan inovasi dalam pembangunan teknologi hijau dan melaksanakan pembangunan secara inklusif demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button