Buku legasi pemimpin Iran dilancar, kupas masa depan ummah
KUALA LUMPUR – Sebuah buku yang mengangkat pemikiran strategik dan legasi kepimpinan Republik Islam Iran dilancarkan dalam satu majlis di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, di sini semalam.
Buku bertajuk “Futuristic Outlook of the Martyred Leader of the Islamic Republic of Iran” itu diterbitkan hasil kerjasama Pusat Kebudayaan Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, penerbitan buku tersebut bertujuan menampilkan idea serta visi kepimpinan yang mampu memberi panduan kepada umat Islam dalam mendepani cabaran semasa.
“Buku ini bukan sekadar menyorot sejarah, tetapi mengajak kita menilai masa depan ummah dari sudut pemikiran strategik dan kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Felo Penyelidik Kanan IAIS Malaysia, Dr Ahmad Badri Abdullah.
Kaunselor Kebudayaan Kedutaan Iran ke Malaysia, Dr Habibreza Arzani berkata, karya tersebut menghimpunkan refleksi terhadap perjuangan dan pemikiran tokoh berkenaan, termasuk implikasinya terhadap perkembangan geopolitik global.
Dalam pada itu, Duta Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi turut menyampaikan ucaptama yang menyentuh kepentingan perpaduan dan kekuatan intelektual dalam dunia Islam.
Majlis itu turut dihadiri wakil diplomatik asing, ahli akademik, pembuat dasar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin belia.
Antara pengisian program termasuk pengenalan buku, sesi refleksi utama serta pelancaran rasmi yang menjadi platform kepada perbincangan ilmiah berkaitan kepimpinan dan masa depan ummah.
Dalam perkembangan sama, buku berkenaan dijangka diperkenalkan kepada orang ramai sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















