Ramai buruan SPRM di luar negara, belum tersenarai Notis Merah Interpol
KUALA LUMPUR – Usaha menjejaki individu dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan cabaran apabila sebahagian daripada mereka masih bebas dan belum tersenarai dalam Notis Merah Interpol.
Menurut sumber, situasi itu menyebabkan beberapa individu yang diburu masih menjalani kehidupan mewah di luar negara termasuk di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Bgaiamanapun difahamkan, tidak semua nama didedahkan kepada umum berikutan siasatan yang masih berjalan dan sekurang-kurangnya empat individu berprofil tinggi kini giat dijejaki SPRM.
Antara yang sering menjadi perhatian ialah ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Walaupun diburu pihak berkuasa Malaysia dan beberapa negara lain, beliau dilaporkan masih belum tersenarai dalam Notis Merah Interpol setakat ini, lapor NST Online.
Turut dikaitkan ialah bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee yang dipercayai terlibat dalam pemindahan dana berjumlah AS$1 bilion dan pernah menjadi subjek notis antarabangsa, namun masih gagal ditahan.
Dalam perkembangan sama, ahli perniagaan Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri dilapor meninggalkan negara pada Mei 2023 dan kini dipercayai berada di luar negara.
Sepupunya, Adam Radlan Adam Muhammad yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah selepas membayar kompaun RM4.1 juta, turut dikesan berada di luar negara dan kini dikehendaki bagi membantu siasatan projek lebuh raya MEX II.
Semakan pada laman sesawang SPRM mendapati hampir 30 individu berada dalam senarai orang dikehendaki, termasuk beberapa kes berprofil tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menegaskan pihaknya komited untuk menjejaki semua individu terbabit serta mempergiat usaha membawa mereka pulang bagi membantu siasatan.
“Usaha menjejaki mereka yang melarikan diri daripada siasatan akan terus dipertingkatkan. Wang yang diseleweng perlu dikembalikan kepada rakyat.
“Pada pandangan saya, tiada pengampunan wajar diberikan kerana kes ini melibatkan kepentingan serta hak rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara akan terus diperkukuh bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








