Zamri Vinoth mengaku tidak bersalah timbulkan kegentaran awam
KUALA LUMPUR – Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam menerusi satu hantaran di Facebook, Februari lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan di Mahkamah Majistret Jenayah 9.
Mengikut kertas pertuduhan, Zamri Vinoth didakwa membuat hantaran di Facebook pada 3 Februari lalu yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang lain melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail yang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 memandangkan lebih 100 laporan polis diterima berhubung hantaran berkenaan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Terdahulu, Zamri Vinoth tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9.15 pagi dengan berpakaian sut dalam keadaan bergari sambil diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, peguam Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah agar jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira keadaan anak guamnya yang mempunyai lapan tanggungan.
Menurutnya, lima daripada anak tertuduh masih bersekolah manakala isterinya pula menghidap long COVID yang memerlukan rawatan selain turut menanggung kedua-dua ibu bapanya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa anak guamnya melarikan diri ke Thailand, sebaliknya berada di negara itu atas urusan kerja dari 9 hingga 12 Mac lalu.
Katanya, Zamri Vinoth sering ke Thailand bagi menguruskan pasangan yang ingin bernikah di luar negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Songkhla serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS).
Menurutnya lagi, tertuduh yang juga pendakwah bebas turut menjalankan perniagaan pakaian terpakai (bundle) di Songkhla.
“Anak guam saya memasuki negara melalui saluran yang sah, sekali gus menunjukkan beliau tidak pernah berniat melarikan diri dan sentiasa bersedia menghadirkan diri di mahkamah,” memetik BH online.
Prosiding mahkamah turut dihadiri rakan-rakan serta penyokong tertuduh bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








