Berita Semasa

Lima sungai di Kelantan lepasi paras bahaya akibat hujan lebat

KOTA BHARU – Lima sungai utama di Kelantan mencatatkan paras air melepasi tahap bahaya pagi ini susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai-sungai yang terjejas ialah Sungai Lanas di Jeli, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Melor di Bachok, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Kelantan di Kampung Temangan.

Selain itu, dua sungai lagi telah mencatat paras amaran, iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Sungai Galas di Dabong.

Enam sungai lain pula dilaporkan berada di paras berjaga-jaga, termasuk Sungai Kelantan di Tanah Merah, Sungai Golok di Tumpat, Sungai Buaya di Pasir Puteh, Sungai Galas di Gua Musang, Sungai Kelantan di Kusial Baru dan Sungai Galas di Chegar Lapan, Kuala Krai.

Sehingga pukul 7 pagi tadi, keadaan hujan masih berterusan dengan angin kencang di beberapa kawasan, menyebabkan paras air sungai dijangka terus meningkat.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi untuk sebarang tindakan lanjut.

Show More

Related Articles

Back to top button