Berita Semasa

Mas Ermieyati dilantik Pengerusi PAC

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini dipilih sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, yang menyandang jawatan itu sebelum ini.

Mas Ermieyati daripada Perikatan Nasional (PN), menjadi wanita kedua dilantik memegang jawatan itu selepas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) dari April 2019 hingga Mac 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengusulkan pemilihan itu di Dewan Rakyat turut menamakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai naib pengerusi.

Usul itu diterima sebulat suara oleh Ahli Dewan Rakyat.

Terdahulu, menurut Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat hari ini, perdana menteri akan mencadangkan calon bagi lantikan berkenaan.

Pelantikan itu sebagai meneruskan amalan lantikan pengerusi PAC dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang seperti dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, yang mana jawatan berkenaan terdahulu disandang Kah Woh daripada PH.

PAC ialah jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada ketua audit negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.

Ia akan dianggotai antara enam hingga 12 ahli yang akan dicalon oleh jawatankuasa pemilihan yang akan ditubuhkan.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button