Mohd Dusuki Mokhtar dilantik Peguam Negara baharu
KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa mulai 12 November ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan Mohd Dusuki
selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, pelantikan itu juga bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, dilahirkan di Machang, Kelantan, kini berusia 57 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang- Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia.
“Beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, Shamsul Azri berkata, kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahmad Terrirudin atas perkhidmatan beliau kepada Negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara.
Sebagai rekod, Terrirudin memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1992, sudah berkhidmat di pelbagai kedudukan.
Ia termasuklah Hakim Mahkamah Sesyen dan kemudian dilantik pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau juga pernah menjadi timbalan ketua jabatan sivil di Pejabat Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang Kedah, sebelum dilantik ketua pendaftar di Mahkamah Persekutuan pada 2019.